Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Segamat menjadi daerah kelapan dan terbaharu terjejas banjir dengan lima mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) petang hari ini.

Banjir yang masuk hari ketiga itu sebelum ini menyaksikan hanya tujuh daerah terjejas banjir iaitu Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Mersing, Pontian dan Batu Pahat

Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, kesemua mangsa banjir Segamat itu ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Jabi yang dibuka pada lewat petang.

Setakat 8 malam ini, Vidyananthan berkata, mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 6,391 orang daripada 1,641 keluarga berbanding seramai 6,557 orang daripada 1,694 keluarga pada petang hari ini.

Katanya, sebanyak 60 PPS dibuka di lapan daerah setakat malam ini dengan lima PPS sudah ditutup iaitu tiga di Johor Bahru, dan masing-masing sebuah di Kluang dan Pontian.

"Mangsa banjir di Kluang meningkat mendadak kepada 2,533 orang daripada 694 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS malam ini berbanding hanya 1,990 orang daripada 582 keluarga pada petang tadi.

"Kota Tinggi juga merekodkan peningkatan mangsa banjir kepada 1,470 orang daripada 341 keluarga di 17 PPS malam ini, berbanding hanya 1,223 mangsa daripada 278 keluarga, petang tadi.

"Mangsa banjir di Mersing juga meningkat kepada 311 orang daripada 82 keluarga di empat PPS malam ini, berbanding 257 orang daripada 70 keluarga, petang tadi.

"Mangsa banjir di Pontian juga meningkat kepada 23 orang daripada lima keluarga di dua PPS malam ini,berbanding 18 mangsa daripada empat keluarga pada petang tadi," katanya.

Menurutnya, mangsa banjir Johor Bahru pula menurun kepada seramai 1,432 daripada 350 keluarga di 10 PPS malam ini, berbanding seramai 2,452 mangsa daripada 593 keluarga pada petang hari ini.

"Kulai kekal dengan 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS begitu juga Batu Pahat kekal dengan 36 mangsa banjir daripada 14 keluarga di dua PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Banjir turut menyebabkan sebanyak 10 laluan utama di negeri ini dinaiki air dengan tujuh daripadanya ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan paras air yang tinggi dan arus yang deras selain jambatan runtuh.

Tujuh jalan berkenaan adalah Jalan Sungai Sayong, Kota Tinggi (Jambatan Sungai Sayong), Jalan Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Jalan Semanggar, Kota Tinggi (jambatan), Jalan Mawai Lama, Jalaj Haji Suhud, Taman Muhibbah, Johor Bahru (jambatan runtuh) selain Jalan Batu Pahat-Mersing,Kluang (Pertubuhan Peladang Negeri Johor) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Pelangi).

Sementara tiga laluan lagi hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Kluang-Mersing, Kluang (Kampung Contoh, Kahang) kerana tebing runtuh, selain dua lagi laluan masing-masing di Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Paloh) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (SMK Kahang).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 9:14 PM