Nur Saliawati Salberi


HUJAN lebat lebih dua jam di sekitar Melaka Tengah mengakibatkan lima kampung terjejas serta beberapa laluan utama dilanda banjir kilat, hari ini.

Hujan lebat sejak 5.30 petang itu mengakibatkan Kampung Tun Razak, Taman Seri Jati, Taman Bukit Beruang, Kampung Sikume Batu Berendam dan Kampung Sungai Putat terjejas.

Turut dinaiki air, beberapa laluan utama antaranya di Lebuh Tun Razak Peringgit dan Kawasan Perindustrian Ayer Keroh serta jalan di Bukit Baru, Bukit Beruang dan Batu Berendam.

Malah, lebih 20 kenderaan yang diletakkan di bahagian belakang bangunan Melaka Mall terkandas kerana ada ditenggelami air.

ANTARA kenderaan ditenggelami air di Melaka Mall. FOTO Khairunisah Lokman
ANTARA kenderaan ditenggelami air di Melaka Mall. FOTO Khairunisah Lokman

Bagi Sukarelawan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Az Hilal Fakarullah Azham, 18, berkata, ketika kejadian, dia bersama lima rakan mengikuti program beri pakaian sekolah kepada fakir miskin di Melaka Mall.

Beliau berkata, mereka terpaksa meredah air pada paras pinggang bagi memeriksa jika terdapat mangsa yang terperangkap di dalam kereta yang ditenggelami air.

“Selepas mengalihkan kereta rakan , kami meredah banjir serta periksa kereta ada lampu menyala kerana menyangka ada orang di dalamnya, tetapi mujur tidak ada," katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Leftenan Kolonel (PA) Efrendy Ali berkata, sehingga jam 8.15 malam tadi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri itu.

Bagaimanapun, pihaknya berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memantau paras air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 9:06 PM
ANTARA kenderaan ditenggelami air di Melaka Mall. FOTO Khairunisah Lokman
ANTARA kenderaan ditenggelami air di Melaka Mall. FOTO Khairunisah Lokman