Beberapa rumah di Kampung Sri Sentosa, Bestari Jaya di sini, ditenggelami banjir.
Beberapa rumah di Kampung Sri Sentosa, Bestari Jaya di sini, ditenggelami banjir.
Oleh Ruwaida Md Zain


HUJAN tanpa henti kira-kira dua jam mengakibatkan tujuh rumah di Kampung Sri Sentosa, Bestari Jaya di sini, ditenggelami banjir kilat sedalam kira-kira 1.6 meter.

Hairul Razid Mohamad Seri, 36, berkata, selepas solat sunat Aidiladha pagi tadi (kira-kira jam 8.30 pagi), dia bergegas ke kampung itu untuk menjemput ibu bapanya yang tinggal di kawasan berkenaan.

"Saya tinggal di Taman Saujana Aman, terletak kira-kira 500 meter dari kampung ibu bapa saya.

"Kawasan rumah saya turut dilanda banjir namun air tidak memasuki rumah. Saya kemudiannya bawa ibu bapa ke rumah saya demi keselamatan mereka.

"Hujan lebat melanda bermula jam 4 pagi dan berakhir kira-kira dua jam kemudian. Sejak lima tahun kebelakangan, hujan lebat menyebabkan banjir kilat," katanya dihubungi.

Menurutnya, penduduk sudah banyak kali membuat aduan namun belum ada tindakan daripada pihak berkaitan bagi mengatasi masalah terbabit.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Azrel Izaidi Ahamad berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas banjir jam 11.02 pagi tadi.

"Kami dapati tujuh rumah ditenggelami banjir berkedalaman 1.6 meter.

"Hanya tiga rumah berpenghuni dan kami mengarahkan anggota bertugas memastikan semua penghuni keluar dan berada di tempat selamat.

"Kami turut membuat penilaian tahap naik turun air. Selepas penilaian, kami dapati paras air menurun dan tiada mangsa dipindahkan setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 8:00 PM