Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk Tersang di sini mula melakukan persediaan awal dengan memasang rak besi untuk dijadikan tempat menyimpan barang penting bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada November ini.

Ini berikutan penempatan itu antara lokasi paling awal dinaiki air setiap kali banjir, malah musim Monsun Timur Laut yang melanda pada Februari lalu hampir menenggelamkan keseluruhan rumah di kampung terbabit.

Penduduk, Asiah Mamat, 70, berkata anak-anaknya bersepakat memasang rak besi sejak seminggu lalu untuk dijadikan tempat menyimpan barang penting dan pakaian jika rumah dinaiki air.

Katanya, kejadian bah besar pada awal tahun ini benar-benar membuatkan dia dan suami, Ismail Salleh, 76, trauma kerana ia berlaku dengan cepat selain tidak dapat menyelamatkan harta benda yang dihanyut arus banjir.

"Sekarang hampir setiap petang penempatan kami mengalami hujan, seakan-akan memberi petanda banjir akan tiba. Jadi, anak berpakat memasang rak besi lebih awal, malah ada antara pakaian, tilam dan beberapa barangan lain sudah diangkat ke rak besi terbabit.

"Biasanya, bila air bergenang di halaman rumah, barulah saya sekeluarga akan mula memasang rak besi dan mengemas, tetapi kali ini ia dilakukan lebih awal kerana risau jika air naik dengan cepat dan kami tidak sempat berbuat apa-apa.

"Dengan memasang rak ini, saya berasa lebih lega untuk meninggalkan barangan di rumah dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menyelamatkan diri," katanya di rumahnya di Kampung Tersang.

Sementara itu, Norizan Che Soh, 54, berkata dia sekeluarga sentiasa bersiap siaga untuk berhadapan dengan banjir selain bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapinya.

"Semua dokumen penting daripada awal dikumpulkan di dalam satu beg yang mana menjadi barangan utama untuk diselamatkan jika berpindah ke tempat selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:30 AM
ASIAH menunjukkan rak besi yang dipasang di rumahnya sebagai persiapan awal menghadapi banjir di Kampung Tersang. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
ASIAH menunjukkan rak besi yang dipasang di rumahnya sebagai persiapan awal menghadapi banjir di Kampung Tersang. FOTO SYAHERAH MUSTAFA