ABANG Johari (tengah) bergambar dengan ketua-ketua parti utama Sarawak pada Konvensyen GPS. FOTO Bernama
ABANG Johari (tengah) bergambar dengan ketua-ketua parti utama Sarawak pada Konvensyen GPS. FOTO Bernama
BERNAMA

MASIH tiada tarikh jelas bila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan diadakan, walaupun topik itu disentuh pada konvensyen pertama Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching, hari ini.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilihat masih berteka-teki, berhubung pilihan raya berkenaan, sedangkan beliau ada menyebut mengenainya pada konvensyen yang dihadiri lebih 5,000 delegasi itu.

“Bila pilihan raya saya sik (tak) tau, tetapi kita mesti bersedia mempertahankan hak dan Sarawak, kerana kita ada agenda lebih besar selepas ini,” katanya ketika berucap sebelum menutup konvensyen sehari berkenaan.

Turut hadir Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing; Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya adalah pada Mei 2021.

Namun, mengikut rekod, kebiasaannya PRN negeri diadakan setiap empat tahun.

Mengenai konvensyen itu, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, ia diadakan bagi memberi penjelasan kepada anggota GPS, bagaimana negeri berkenaan ditadbir selama GPS dibentuk sejak Jun tahun lepas untuk memerintah negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 9:03 PM