ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Bernama
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Keputusan parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan logo gabungan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) membuktikan kesepakatan keempat-empat parti, kata Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, semua 82 calon yang dipilih akan dikenali sebagai calon GPS, dan bukannya parti masing-masing iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

"Kita gunakan 'common' logo pada PRN-12 menunjukkan kami semua sehaluan dalam gabungan, memiliki manifesto yang sama dan bertanding sebagai sebuah gabungan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Kepada Calon GPS di ibu pejabat PBB di Petrajaya, dekat sini hari ini.

Keempat-empat parti PBB, PRS, SUPP dan PDP (SPDP yang dijenamakan semula sebagai Parti Demokratik Progresif pada November 2017) keluar daripada Barisan Nasional pada 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Empat parti berkenaan membentuk GPS pada 12 Jun 2018, dan menerajui kerajaan Sarawak.

Nanta, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang secara tradisinya milik SUPP dan PDP kini ditandingi calon PBB.

Antara kerusi itu ialah DUN Pakan yang secara tradisinya milik PDP akan terus dipertahankan penyandangnya Tan Sri William Mawan Ikom, yang pada pilihan raya negeri 2016 bertanding atas tiket calon langsung BN.

Selepas memenangi kerusi Pakan dalam pilihan raya itu, Mawan, yang juga bekas presiden SPDP, kemudiannya menyertai PBB.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian pada 18 Disember dan undi awal 14 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:35 PM