Hasanuddin menunjukkan senjata yang ditemui hasil Op Bersepadu Khazanah di Kampung Sugi, Gua Musang kelmarin. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Hasanuddin menunjukkan senjata yang ditemui hasil Op Bersepadu Khazanah di Kampung Sugi, Gua Musang kelmarin. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Muhamaad Razis Ismail


LELAKI Orang Asli ditahan bersama senapang patah dan dua gading gajah dalam Op Bersepadu Khazanah di Kampung Sugi, Gua Musang kelmarin.

Dalam operasi 6 petang itu, turut ditemui bersama lelaki berusia 51 tahun itu adalah 31 peluru hidup.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN).

Katanya, susulan itu polis dari Pasukan Gerakan Awam (PGA) Batalion 8 bersama PERHILITAN membuat pemeriksaan di kediaman suspek.

“Pemeriksaan lanjut menemui selaras senapang patah, 31 peluru hidup jenis 12 bore dan dua gading gajah.

“Suspek kemudian ditahan kerana gagal menunjukkan lesen pemilikan senjata terbabit.

“Kes pemilikan gading gajah itu diserahkan kepada PERHILITAN,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal suspek mengaku senapang itu dipinjam daripada bapa mentuanya untuk membunuh haiwan liar yang masuk ke kebunnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Gading gajah yang ditemui pada Orang Asli. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Gading gajah yang ditemui pada Orang Asli. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim

Hasanuddin berkata, pada 2 petang hari sama pihaknya turut menahan empat lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda di Pos Pasik, Gua Musang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek berusia 28 hingga 43 tahun itu menemui 61 racik (jerat) ayam dan burung serta sebilah parang menggunakan hulu tanduk rusa.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 3:35 PM