AJAN ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim.
AJAN ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


LELAKI Orang Asli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Gua Musang, hari ini atas tiga tuduhan menyimpan dua gading gajah, memiliki senapang dan 31 butir peluru tanpa permit pada 12 November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ajan Yatim, 51, yang bekerja sendiri tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyimpan dua gading gajah iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam jadual kerja kelas Mamalia Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Berikutan itu, Ajan didakwa mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang jenis Steven dan 31 butir peluru tanpa lesen atau permit senjata.

Untuk pertuduhan kedua, Ajan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan maksimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Sugi Pos Pasik, Gua Musang pada 6 petang, 12 November lalu

.

Pendakwaan bagi pertuduhan pertama dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Primus Lambut dan pertuduhan kedua serta ketiga dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Habibullah Mohammad Shah.

Tertuduh diwakili peguam, Mariana Mat Kudin.

Zaman kemudian menetapkan 19 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Akhbar sebelum ini melaporkan lelaki Orang Asli ditahan bersama senapang patah dan dua gading gajah dalam Op Bersepadu Khazanah di Kampung Sugi, Gua Musang, 12 November lalu.

Dalam operasi 6 petang itu, turut ditemui bersama lelaki berusia 51 tahun itu adalah 31 peluru hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 2:56 PM