KEADAAN rumah penduduk dilimpahi air ketika banjir di Kampung Parit Mahang. FOTO ROSLIN MAT TAHIR
KEADAAN rumah penduduk dilimpahi air ketika banjir di Kampung Parit Mahang. FOTO ROSLIN MAT TAHIR
Nur Lela Zulkipli


MANGSA banjir di beberapa lokasi sekitar daerah ini dinasihatkan supaya tidak pulang ke rumah masing-masing selagi belum dibenarkan pihak bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, setakat ini 84 keluarga ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tiga PPS berkenaan di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Taman Desa Desa Coafield (24 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang (46 keluarga) dan SK Setia Jaya (10 keluarga).

Pusat berkenaan dibuka sejak 23 Oktober lalu apabila paras air mulai naik sehingga dua meter berikutan hujan berterusan sejak minggu lalu.

“Penduduk dinasihatkan supaya terus berada di PPS kerana keadaan banjir dijangka lebih teruk selepas hujan petang ini.

“Malah, dengan fenomena air pasang besar dijangka berlaku esok akan menyebabkan paras air semakin naik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat PPS di SK Parit Mahang, Kuala Selangor, hari ini.

Katanya, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak supaya tiada yang bermain dengan air banjir kerana dikhuatiri lemas.

“Banjir baru saja berlaku, namun saya lihat sudah ada kanak-kanak bermain air banjir seolah satu pesta.

“Kita tidak mahu perkara lebih buruk berlaku sehingga terpaksa menurunkan pasukan mencari dan menyelamat bagi menyelamatkan mangsa lemas pula,” katanya.

Pada masa sama, Hafisham menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pendakian sepanjang musim hujan bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Kita ambil contoh minggu lalu, bomba terpaksa menyelamatkan serentak tiga mangsa yang tersesat dan cedera di Bukit Tabur, Ampang, kerana sesat akibat tergelincir.

“Apabila hujan, trek pendakian menjadi licin dan pendaki boleh terdedah kepada risiko tergelincir seterusnya sesat kerana sudah terkeluar dari laluan yang sepatutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 3:19 PM