GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Jeram, di sini, 5.59 petang semalam bagi menempatkan 11 mangsa banjir daripada lima keluarga.

Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, semua mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita dewasa serta tiga kanak-kanak.

Katanya, banjir itu turut membabitkan seorang lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Kawasan yang terjejas adalah Jalan Bahagia, Kampung Parit Mahang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Sehingga 6.45 pagi tadi, PPS SK Parit Mahang masih lagi aktif dengan keadaan cuaca yang baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dengan dua lokasi di daerah ini dilanda banjir, dua PPS dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas.

Sementara itu, Maizura berkata, jumlah mangsa banjir di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, masih kekal iaitu 90 mangsa.

Setakat 8.17 pagi tadi, kesemua mangsa membabitkan 27 keluarga berada di PPS SK Rantau Panjang.

Dalam perkembangan lain, Maizura berkata, pemantauan banjir turut dilakukan di Kampung Tanjung Siam dan Kampung Kuantan, di sini susulan air yang naik di dua kawasan itu semalam.

Bagaimanapun, katanya, tiada PPS dibuka setakat ini di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 11:05 AM