ANGGOTA bomba berusaha membawa mangsa yang terjatuh ke dalam gaung akibat kemalangan di Kilometer 43.3 Lebuhraya Pantai Timur arah timur dekat Bentong, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha membawa mangsa yang terjatuh ke dalam gaung akibat kemalangan di Kilometer 43.3 Lebuhraya Pantai Timur arah timur dekat Bentong, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU dan kelindan treler membawa muatan batu bata parah selepas kenderaan itu terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan dengan kereta di Kilometer 43.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur di Bentong, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.46 petang hari ini.

"Seramai 10 pegawai dan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan kemalangan membabitkan treler membawa muatan batu bata dalam perjalanan ke arah Kuantan terbabas lalu melanggar kereta Perodua Myvi dinaiki satu keluarga.

"Kemalangan itu menyebabkan treler berkenaan menjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter.

"Dua mangsa berusia 40-an dan 50-an yang berada di dalam treler terbabit parah selepas tersepit di dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal Abidin berkata, anggota bomba menggunakan tali serta pengusung untuk membawa mereka ke tebing manakala tujuh individu termasuk tiga kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga lima tahun yang menaiki Perodua Myvi dilaporkan cedera ringan.

Beliau berkata, mereka yang cedera dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 8:41 PM