AL-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah, Dr Mahathir serta Dr Wan Azizah meraikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
AL-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah, Dr Mahathir serta Dr Wan Azizah meraikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Wan Faizal IsmayatimIrwan Shafrizan IsmailZanariah Abd Mutalib dan Fahmy A Rosli dan Noor Atiqah Sulaiman


RIBUAN pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya sejak jam 5 pagi hari ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Pelbagai lapisan masyarakat membawa sepanduk dan Jalur Gemilang bagi merayakan kemerdekaan negara ke-62, dengan ada antara mereka mengenakan pakaian melambangkan Malaysia dan bertemakan patriotik.

Dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, kira-kira 300,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan pada tahun ini, yang diadakan buat kali kedua di Putrajaya di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan menghadiri sambutan pada hari ini.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Lebih 15,000 peserta dan lebih 300 aset terbabit dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Putrajaya sebelum ini pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005 dan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 8:36 AM