GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TIGA individu termasuk wanita bukan saja cedera ditumbuk malah kerugian RM425,386 (USD101,500) selepas disamun tiga lelaki Afrika di Jalan 9, Taman Ampang Jaya, Ampang semalam.

Ketika kejadian 3 petang itu, ketiga-tiga mangsa warga tempata berusia 48 hingga 58 tahun dipercayai mahu melakukan urusan pertukaran wang dengan seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, mangsa ditawarkan tukaran wang USD kepada Ringgit Malaysia (RM) pada harga tinggi iaitu USD 1 kepada RM6.

“Mangsa kemudian berjumpa dengan seorang wanita yang menaiki Nissan Teana sebelum suspek membawa mangsa ke pejabat bagi urusan pertukaran wang.

“Bagaimanapun setibanya di Jalan 9, Taman Ampang Jaya, wanita itu memberhentikan kenderaan dinaiki sebelum datang tiga lelaki warga Afrika membuka pintu kereta,” katanya.

Noor Azmi berkata, tiga suspek itu bertindak menolak dan menumbuk mangsa sebelum melarikan beg sandang yang mengandungi wang tunai dan dokumen penting.

“Suspek bersama wanita itu melarikan diri menaiki Nissan Sentra.

“Pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek adalah nombor pendaftaran palsu dan menggunakan kereta klon,” katanya.

Katanya, suspek juga meninggalkan Nissan Teana yang dipercayai kereta klon.

“Usaha mengesan semua suspek giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan tanpa senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 2:55 PM