FAROUK Eshak (tengah) menunjukkan barang rampasan pada Sidang Media Kejayaan Tangkapan Kes Samun dan Curi Motosikal Bahagian Siasatan Jenayah di Dewan D'Sury, IPD Ampang Jaya. FOTO Aswadi Alias
FAROUK Eshak (tengah) menunjukkan barang rampasan pada Sidang Media Kejayaan Tangkapan Kes Samun dan Curi Motosikal Bahagian Siasatan Jenayah di Dewan D'Sury, IPD Ampang Jaya. FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam lapan kes samun kedai serbaneka di Cheras dan Ampang ditahan di Jalan Pandan 2/2, Pandan Jaya, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan itu susulan laporan daripada seorang juruwang kedai serbaneka mendakwa premis terbabit disamun pada 9 pagi, hari sama.

"Suspek berusia 26 tahun pada awalnya berpura-pura membeli rokok, selepas membuat pembayaran suspek yang bersenjatakan pisau itu melompat masuk ke kaunter lalu menyamun wang tunai sebanyak RM150 serta kotak rokok," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek selepas membuat serbuan di sebuah bilik sewa di Pandan Jaya, pada 8.30 malam.

"Polis turut merampas pakaian, rokok, wang tunai, topi keledar yang dipakai ketika suspek melakukan jenayah samun, dan motosikal Yamaha LC 135 berwarna hijau," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan pernah menjadi mangsa samun, dia melakukan jenayah terbabit secara bersendirian selepas kehidupannya yang terdesak dan tidak bekerja.

"Hasil soal siasat mendapati suspek sudah melakukan tiga samun di Cheras dan lima di kawasan Ampang membawa keuntungan sekitar RM2,000.

"Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan amphetamine," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 2:35 PM