Seorang daripada suspek dan kenderaan yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Seorang daripada suspek dan kenderaan yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes curi kenderaan di Bandar Baru Ampang di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek pertama berusia 42 tahun ditahan di sekitar daerah ini hasil risikan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Susulan tangkapan itu, polis kemudian ke sebuah premis menjual besi buruk di Kuala Lumpur dan merampas dua kereta jenis Mitsubishi Galant dan Mitsubishi Tredia yang disyaki dicuri, sebuah lori dan beberapa barang berkaitan dipercayai hasil barangan curi.

"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun secara berasingan di Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang pada hari sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan akan mencari kereta lama yang dipakir dan tersadai di tepi jalan dijual untuk dijadikan besi buruk.

"Suspek akan menunda kenderaan dan dibawa ke kedai menjual besi buruk untuk dijual. Semakan rekod lampau mendapati dua daripada lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Katanya, semua suspek ditahan sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 5:02 PM