Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Foto Arkib NSTP
Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Foto Arkib NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KEMENTERIAN Pengangkutan akan melakukan kajian terperinci dan menyerahkan laporan mengenai perkhidmatan teksi motosikal dalam tempoh sebulan selepas ia diluluskan secara prinsipal di Kabinet, semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kajian itu bagi memberikan satu hala tuju atau mekanisme pelaksanaan pengangkutan awam baru itu termasuk peraturan dan undang-undang yang akan digunakan nanti.

Menurutnya, pihaknya juga akan melihat dari aspek keselamatan, insurans, isu budaya termasuk melihat pelaksanaan yang sudah dibuat di negara lain.

“Apa yang kita utamakan ketika ini adalah ciri keselamatan. Kita tahu ramai menteri yang memberikan sokongan dalam usaha ini kerana dapat menjana ekonomi dalam pelbagai aspek termasuk industri kecil dan sederhana serta e-dagang.

“Tetapi sekarang ini kita fokus kepada mekanisme perkhidmatan terbabit dan apabila sudah siap kita akan umumkan kerana kita mahu pastikan keselamatan terjamin dalam menyediakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kemudahan itu akan dilihat sebagai pelengkap kepada sistem pengangkutan awam darat dan ia tidak akan menggantikan secara keseluruhan pengangkutan awam yang lain seperti kereta api atau bas.

Menurutnya, ia kerana masalah utama yang dihadapi di Kuala Lumpur adalah apabila pengguna sampai di stesen bas atau kereta api, mereka sukar mendapatkan pengangkutan awam lain untuk bergerak ke pejabat atau rumah.

“Apabila semuanya sudah dimuktamadkan kita akan buka permohonan dan mana-mana syarikat perkhidmatan teksi motosikal boleh mendaftar.

“Ada laporan kata kita bagi permohonan kepada Go-Jek...belum. Mereka cuma datang beri cadangan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) beberapa hari lalu dan belum ada sebarang permohonan rasmi lagi,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai gangguan sistem di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat laporan lengkap.

“Saya tahu mengenai masalah yang berlaku itu. Jadi saya minta maaf atas kesulitan yang berlaku dan meminta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengeluarkan maklumat terkini mengenai situasi yang dialami,” katanya.

Terdahulu dilaporkan berlaku gangguan di KLIA hingga menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan modem Internet tanpa wayar (WiFi), Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

MAHB dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu bermula pada malam tadi dan kini sedang diperbaiki.

Berita berkaitan

Pembonceng Go-Jek berisiko sebar penyakit

Sebulat suara lulus Go-Jek

Go-Jek lulus!

Syarikat teksi bantah Go-Jek

Syarikat teksi bantah Go-Jek

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:07 PM