FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohamad Hussin


TINDAKAN kerajaan meluluskan cadangan melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali Go-Jek boleh membahayakan nyawa pembonceng selain meningkatkan kadar jenayah di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan merangkap Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pelaksanaan Go-Jek banyak mendatangkan kesan buruk terutama aspek keselamatan.

Beliau berkata, syarikatnya yang mengendalikan perkhidmatan teksi premium memuji sistem pengangkutan awam di negara ini antara yang terbaik dan pihaknya mempersoalkan kewajaran kerajaan melaksanakan perkhidmatan Go-Jek.

“Ia akan mendatangkan banyak masalah seperti risiko kemalangan jalan raya, masalah sosial, kesesakan jalan raya, bandar raya kotor serta lokasi berkumpul mat motor Go-Jek.

“Kalau kerajaan hendak bantu anak muda mendapatkan pekerjaan bukannya dengan cara bawa Go-Jek tetapi kerja tetap yang menjamin masa depan serta pendapatan tinggi.

“Saya terpanggil untuk membela nasib anak muda seperti yang dijanjikan kerajaan akan memberi pekerjaan kepada mereka, bukannya menjatuhkan martabat anak muda dengan membawa Go-Jek,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, walaupun dalam mesyuarat kabinet kelmarin, kerajaan sudah memberi lampu hijau meluluskan pelaksanaan cadangan itu tetapi ia boleh dibatalkan atas pelbagai faktor terutama aspek keselamatan pembonceng.

“Kenapa perlu laksanakan sedangkan pengangkutan awam kita sudah baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:28 PM