Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Pengangkutan akan melihat keperluan perkhidmatan teksi motosikal untuk mengikuti Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) bagi memastikan keselamatan penunggang dan penumpang.

Menterinya Anthony Loke berkata, pihaknya sudah melihat pelbagai aspek termasuk keselamatan sebelum Kabinet membuat keputusan meluluskan perkhidmatan teksi motosikal itu.

Beliau berkata, walaupun ada pihak yang menyatakan kebimbangan mengenai perkhidmatan berkenaan tetapi kerajaan melihat ia sebagai peluang untuk wujudkan kerangka keselamatan yang dapat mengubah cara penunggang motosikal.

“Kerangka keselamatan itu bukan sahaja untuk teksi motosikal tetapi juga penghantar makanan, dokumen dan sebagainya. Apabila kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan teksi motosikal beroperasi, jadi inilah peluang untuk kita merangka peraturan baharu.

“Kita tak pernah ada peraturan untuk kawal penunggang motosikal ini (penghantar makanan dan dokumen) walaupun perkhidmatan sudah disediakan sejak lebih 20 tahun lalu.

“Apabila kita benarkan (teksi motosikal), bukan bermaksud kita benarkan mereka bawa motosikal tanpa peraturan. Kita akan mengawal perkhidmatan itu sebagaimana perkhidmatan kereta e-hailing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan CSSP di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Seremban, hari ini.

CSSP adalah program kolaborasi antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak 2017 yang memberi latihan pengurusan perjalanan selamat kepada penunggang motosikal.

Ia juga program intervensi untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran berhubung keselamatan jalan raya, khususnya keselamatan penunggang motosikal semasa perjalanan pergi dan balik kerja.

Anthony berkata, meskipun pelaksanaan CSSP menyasarkan golongan pekerja yang menunggang motosikal kerana kadar kemalangan babit golongan itu tinggi, kini ia sudah mula didedahkan kepada penghantar makanan dan dokumen selain teksi motosikal jika beroperasi nanti.

Beliau percaya dengan adanya program itu, kerajaan dan industri akan dapat bekerjasama dalam memastikan kelancaran dan kelestarian program demi meningkatkan keselamatan penunggang.

Berita berkaitan:

  • 'Cuma beri cadangan, GoJek belum mohon'
  • Dego Ride setuju!
  • Sebulat suara lulus Go-Jek
  • Kerajaan ikhlas bantu 'mat motor' [METROTV]
  • GoJek lulus!
  • Dego RIDE operasi haram

  • Dego RIDE beroperasi tanpa kebenaran
  • 'Gelombang' teksi motor [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 4:10 PM
    ANTHONY Loke menyaksikan demonstrasi menunggang yang selamat pada program di Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
    ANTHONY Loke menyaksikan demonstrasi menunggang yang selamat pada program di Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.