Penunggang Go-Jek membawa penumpangnya di Jakarta, Indonesia
Penunggang Go-Jek membawa penumpangnya di Jakarta, Indonesia
Yusmizal Dolah Aling


TIMBUL persoalan pihak mana yang akan bertanggungjawab mengenai isu kebersihan dan kesihatan pembonceng perkhidmatan teksi motosikal termasuk Go-Jek jika topi keledar yang digunakan bersilih ganti dengan orang lain.

Berisiko mempunyai sentuhan langsung menerusi peluh dan hakisan kulit, ia akan mengundang pelbagai penyakit terutama berkaitan kulit kerana topi keledar yang sama digunakan puluhan atau ratusan orang setiap hari.

Mengulas mengenainya, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani berkata, perkara itu juga wajar diberi perhatian kerana ia boleh menjadi punca penyebaran penyakit secara tidak langsung.

Menurutnya, pembonceng motosikal akan berpeluh dan ia akan melekat pada topi keledar yang digunakan individu selepas itu, berkemungkinan besar tiada kawalan dari segi pencegahan penyakit.

“Mungkin ada yang kata badan juga berpeluh tetapi peluh di badan akan melekat di baju dan tidak terkena secara langsung.

“Peluh di kepala akan melekat pada topi keledar dan dikongsi pengguna lain selepas itu. Jika pemboceng terbabit mempunyai masalah penyakit kulit tentunya ia menjadi punca penyakit.

“Soal kebersihan ini memang penting,” katanya selepas mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Kulanthayan berbincang dengan Mohammad Hisham Shafie berhubung isu Go-Jek.
Dr Kulanthayan berbincang dengan Mohammad Hisham Shafie berhubung isu Go-Jek.

Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan pelaksanaan Go-Jek di negara ini atas beberapa faktor antaranya risiko kemalangan yang akan meningkat ekoran pertambahan motosikal di jalan raya.

Dr Kulanthayan berkata, secara relatifnya motosikal berisiko untuk terbabit dalam kemalangan kerana mempunyai dua roda dan boleh membabitkan pengguna jalan raya yang lain.

“Berbanding kereta, motosikal juga lebih terdedah kerana ia terbuka berbanding roda empat yang tertutup. Kalau berlaku kemalangan, kesannya akan lebih ketara kepada pengguna motosikal.

“Kita faham isu menyediakan pekerjaan kepada mat motor atau belia tetapi ada banyak lagi cara lain seperti kursus berasaskan kemahiran atau bidang lain,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hisham berkata, sepatutnya kerajaan mengaktifkan kempen menggalakkan pengguna jalan raya beralih kepada pengangkutan awam yang terbukti lebih selesa.

Selain lebih selamat, ia juga seiring dengan pembangunan pelbagai jenis pengangkutan seperti kereta api dan monorel yang mula mendapat tempat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kajian menyeluruh perlu dibuat kerana mungkin di luar negara, ia adalah alternatif berkesan.

“Di negara kita, bukan semua tempat memerlukan perkhidmatan Go-Jek, mungkin ibu negara saja. Jadi ia tidak membantu juga golongan belia luar bandar,” katanya.

Berita berkaitan

Sebulat suara lulus Go-Jek

Go-Jek lulus!

Syarikat teksi bantah Go-Jek

Syarikat teksi bantah Go-Jek

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 4:47 PM