AIRY Zaidi  (kiri) dan jurulatih kawad bersama tiga  beradik pelatih di padang kawad.
AIRY Zaidi (kiri) dan jurulatih kawad bersama tiga beradik pelatih di padang kawad.
Ahmad Ismail


SEGAMAT: Minat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendorong tiga beradik, Hasbul Wafi Abdul Raub, 26, Muhammad Syahmi Abdul Raub, 22, dan Muhammad Abi Nubli Abdul Raub, 20, memohon untuk berkhidmat dengan pasukan keselamatan itu.

Malah, tiga beradik ini yang berasal dari Skudai, Johor Bahru, Johor mencipta sejarah apabila mereka bersama 645 pelatih lain memulakan latihan asas konstabel Siri 6/2019 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, di sini, bermula awal bulan lalu.

Hasbul Wafi bersyukur kerana dia bersama Muhammad Syahmi dan Muhammad Abi Nubli terpilih menjalani latihan bersama.

Dia berharap melepasi semua halangan sepanjang tempoh latihan selama enam bulan, sekali gus bergelar warga PDRM.

“Macam bermimpi kami tiga beradik menjalani latihan bersama. Memang kami bersama-sama hantar permohonan dan dipanggil untuk menjalani latihan asas di Pulapol Segamat,” katanya ketika ditemui di padang kawad Pulapol Segamat, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Komandan Pulapol Segamat, Deputi Superintendan Airy Zaidi Nordin dan Pegawai Penyelaras Latihan Luar, Inspektor Mohamad Puat Shafiq.

Hasbul Wafi berkata, dia sedia untuk ditugaskan di mana-mana cawangan selepas tamat latihan namun mereka bertiga cenderung untuk berkhidmat bersama di Cawangan Khas (SB).

Menurutnya, bapa mereka, Abdul Raub Omar, 56, tidak lagi bekerja akibat masalah jantung dan menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Perkeso.

Dia memberitahu, ibu mereka, Nor Asmah Mohd Saidi meninggal dunia akibat komplikasi pendarahan otak pada 2011.

“Saya memegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Muadzam Shah, Pahang, Muhammad Syahmi, memiliki sijil kemahiran dan Muhammad Abi Nubli, berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tapi kami sepakat untuk menyertai PDRM,” katanya.

Sementara itu, Airy Zaidi berkata, Siri 6/2019 mencatatkan rekod pelatih konstabel teramai iaitu 645 orang sejak Pulapol Segamat memulakan operasi pada 2012.

“Sepanjang enam bulan pelatih diberikan pendedahan mengenai kepolisan dan antara latihan akan dijalani seperti berkawad, undang-undang, latihan amali dalam kelas, penggunaan senjata api dan seni mempertahankan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:40 AM