NAJIB Razak. FOTO Asyraf Hamzah
NAJIB Razak. FOTO Asyraf Hamzah
Murni Wan Omar


LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertegas bahawa Datuk Seri Najib Razak masih perlu membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion walaupun ada memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

LHDN melalui kerajaan mendakwa mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan jelas memperuntukkan bahawa cukai suatu taksiran apabila genap masanya adalah perlu dibayar tidak kira sama ada orang itu merayu terhadap taksiran yang dibangkitkan itu.

Perkara itu dikemukakan melalui afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan bagi notis permohonan penghakiman terus yang dikemukakan.

“Saya menegaskan bahawa mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai yang ditaksirkan kepada seseorang apabila genap masanya tidak kira orang itu merayu atau tidak.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa subseksyen 106(3) akta itu memperuntukkan bahawa dalam mendapatkan kembaki cukai yang terhutang dan kena dibayar melalui prosiding sivil, mahakmah ini tidak boleh melayan sebarang rayuan berhubung perkata itu,” katanya.

Menurutnya, mahkamah tidak boleh melayan membabitkan amaun cukai yang hendak didapatkan kembali adalah berlebihan, ditaksirkan dengan tidak betul, sedang dirayu atau dinaikkan dengan tidak betul.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa sehingga kini defendan (Najib) masih gagal membayar kepada plaintif (LHDN) keseluruhan cukai pendapatan yang masih terhutang dan genap masanya bagi tahun 2011 hingga 2017 berjumlah RM1,692,872,924.83 temasuk kenaikkan lain.

“Dalam menjalankan tugas, suatu perakuan yang memberikan nama dan alamat defendan serta amaun cukai yang perlu dibayar sudah mencukupi menjadi keterangan bagi mahkamah dan bagi membolehkan penghakiman diberikan,” katanya.

Hisyamuddin berkata, defendan tidak mempunyai pembelaan bermerit dalam tuntutan itu dan LHDN berhak mendapat relif yang dituntut.

Pada 25 Jun lalu, Kerajaan melalui LHDN menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar cukai taksiran tambahan dari 2011 hingga 2017 berjumlah hampir RM1.69 bilion.

Berdasarkan penyataan tuntutan, cukai taksiran tambahan dikenakan bagi tahun 2011 hingga 2017 masing-masing berjumlah RM116,173,374.12, RM320,929,932.31, RM891,573,465.46, RM119,144,655.51, RM16,879,500.03, RM643,445.21 dan RM346,471.41.

Notis taksiran tambahan bertarikh 20 Mac 2019 itu dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 25 Mac lalu.

Berikutan defendan gagal membayar semua cukai itu dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penyampaian, kenaikan cukai 10 peratus dikenakan seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Plaintif menyatakan berhak mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang serta kenaikan yang dikenakan terhadap defendan sebagai suatu cukai yang genap masanya dan perlu dibayar.

Menurut plaintif, hingga kini, defendan masih gagal membayar semua amaun cukai pendapatan itu.

Plaintif menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga jumlah dipersetujui dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 9:05 PM