BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Murni Wan Omar


KERAJAAN Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menuntut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar cukai taksiran tambahan dari 2011 hingga 2017 berjumlah hampir RM1.7 bilion.

Kerajaan memfailkan saman itu pada 25 Jun lalu dengan menamakan Najib sebagai defendan bagi menuntut beliau membayar cukai taksiran tambahan berjumlah RM1,692,872,924.83.

Pengurusan kes itu ditetapkan Isnin depan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Erry Shahriman Nor Aripin.

Berdasarkan penyataan tuntutan, cukai taksiran tambahan dikenakan bagi 2011 hingga 2017 itu berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500,03, RM643,445.21 dan RM346,471.41.

Notis taksiran tambahan bertarikh 20 Mac 2019 itu sudah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 25 Mac 2019.

Oleh kerana defendan gagal membayar semua cukai itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus dikenakan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Plaintif mendakwa mereka berhak mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan masih terhutang serta kenaikan dikenakan terhadap defendan sebagai suatu cukai genap masanya dan kena dibayar.

Menurut plaintif, sehingga kini, defendan masih gagal membayar semua amaun cukai pendapatan itu.

Plaintif turut menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga jumlah dipersetujui dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 5:22 PM