KEDUA-DUA kereta remuk teruk dalam kemalangan menyebabkan seorang nelayan terkorban manakala lima lagi cedera di Kilometer 35, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Merang, Permaisuri, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
KEDUA-DUA kereta remuk teruk dalam kemalangan menyebabkan seorang nelayan terkorban manakala lima lagi cedera di Kilometer 35, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Merang, Permaisuri, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Zatul Iffah Zolkiply


NELAYAN maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 35 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, dekat Merang, Permaisuri, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, Mohd Saidi Ambak, 33, dari Kampung Penarik, Bandar Permaisuri yang memandu kereta Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu mangsa dari arah Kampung Raja ke Kuala Terengganu bertembung dengan kereta Proton Inspira dari arah bertentangan.

Beliau berkata, pertembungan itu menyebabkan mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta Proton Inspira berusia 38 tahun bersama empat penumpang termasuk seorang wanita dipercayai isteri dan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Lelaki yang bekerja sebagai guru itu patah lengan sementara wanita berusia 36 tahun patah betis manakala kecederaan dialami tiga lagi penumpang kereta Proton Inspira belum dapat dikenal pasti,” katanya.

Zulkifli berkata, semua mangsa dirawat di HSNZ Kuala Terengganu sementara mayat mangsa akan diserahkan kepada ahli keluarga sebaik selesai proses bedah siasat untuk urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 7:06 PM