ANWAR dan Mohamed Azmin. FOTO arkib NSTP
ANWAR dan Mohamed Azmin. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


“TIDAK ada percanggahan,” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan demikian sebagai mengulas tuduhan kononnya pendirian beliau bercanggah antara dakwaan salah laku seksual membabitkan anggota Kabinetnya pada 1998 dengan seorang lagi menterinya sekarang.

Beliau berkata, mahkamah sudah membuat keputusan pada 1998 dan bukan berdasarkan klip video sebaliknya visual audio video itu datang kemudian.

“Itu muncul kemudian, mahkamah telah pun buat keputusannya, video berikutnya tidak mempengaruhi mahkamah atau sesiapa pun. Ia tidak mempengaruhi saya.

“Dalam kes terbaru ini, video muncul dulu, sudah tentu ia satu cubaan untuk menghitamkan nama seorang yang tertentu itu bagi merosakkan masa hadapannya,” kata beliau dalam catatan di blognya chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata, pihak tertentu menjangkakan tindakannya berikutan klip video yang tersebar itu.

“Sekiranya itu yang berlaku maka saya akan menjadi aksesori kepada plot,” katanya.

Beliau tidak akan menjadi alat kepada dalang komplot yang mahu menjatuhkan anggota Kabinetnya kali ini.

“Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada politik kotor yang sedemikian,” tegasnya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dikaitkan dengan video intim songsang bersama bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Selasa lalu, Haziq dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan reman dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Turut dibebaskan adalah seorang lagi rakan Farhash yang ditahan di Masai, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 2:57 PM