Farhash Wafa (dua kanan) dibebaskan semalam selepas ditahan bagi membantu siasatan kes video seks sejenis baru-baru ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Farhash Wafa (dua kanan) dibebaskan semalam selepas ditahan bagi membantu siasatan kes video seks sejenis baru-baru ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Mohd Husni Mohd Noor


“ITU kan kerja polis nak tangkap siapa.....itu kerja polislah...kalau salah tangkaplah... tak salah nak tangkap buat apa,” kata Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mahu Ketua Polis Negara menahan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk soal siasat mengenai penyebaran video seks sejenis baru-baru ini.

Kenyataan Farhash Wafa itu dibuat selepas dia dibebaskan daripada reman petang semalam berhubung isu penyebaran video seks berkenaan.

Ditanya sama ada parti akan mengambil tindakan terhadap Farhash Wafa susulan kenyataan liar itu, Zuraida berkata, beliau mahu Farhash Wafa mendapatkan maklumat terkini terlebih dulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Saya ingat waktu kena reman, dia (Farhash Wafa) mungkin tertutup dengan maklumat yang berlaku di luar.

“Mungkin dia tak dapat update (kemaskini), saya simpati dengan dia kerana masih lagi terbelenggu dengan tanggapan dia.

“Saya harap lepas dia dapat maklumat terkini, dia dapat kiblat yang lebih waraslah,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan skim FundMyHome di Putrajaya hari ini.

Katanya, apabila dia (Farhash Wafa) sudah stabil, dia akan diberi peluang (keluarkan kenyataan).

Pada 16 Julai lalu Farhash Wafa yang juga Setiausaha Politik Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang lagi individu ditahan polis di Masai, Johor bagi membantu siasatan kes video berkenaan.

Pada masa sama, media turut melaporkan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama beberapa individu lain ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (terbabit dengan seks luar tabii), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 323 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menyebarkan video lucah).

Farhash Wafa dibebaskan 3.45 petang semalam manakala Haziq Abdullah pula dibebaskan 3.58 petang hari sama.

Berita berkaitan

'Itu hak pegawai penyiasat' - KPN [METROTV]

Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah

Isu Video: Haziq, Pengerusi PKR dibebaskan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:38 PM