Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
Idris Musa


“SAYA minta maaf kerana tindakan saya mengatasi krisis kewangan 1997-1998 menguntung taikun,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengaku terbabit dengan ciptaan pendekatan untuk mengatasi masalah kewangan pada ketika itu.

“Saya mengaku saya terbabit dengan ciptaan pendekatan untuk mengatasi masalah kewangan pada 1997-1998.

“Ya, memang pun cara kita selesaikan krisis menolong taikun di Malaysia,” katanya menerusi catatan terbaru di blog beliau, chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata, memanglah baik jika tidak menolong taikun, membiarkan mereka dan perniagaan mereka rugi, gagal dan terpaksa ditutup.

Namun katanya, dengan itu semua kakitangan mereka sama ada yang kaya dan tidak kaya akan menganggur, eksport akan menurun dan tidak akan ada pengaliran wang asing ke dalam negara.

“Kerajaan pula akan hilang cukai korporat dan cukai pendapatan kerana sebahagian besar cukai dibayar oleh taikun.

“Sebahagian besar dana kerajaan akan hilang. Operasi dan pembangunan negara tidak dapat diteruskan. Segala infrastruktur tidak dapat dibangunkan.

“Dalam keadaan kehilangan cukai ke atas taikun kita terpaksa mengenakan cukai kepada yang bukan ditakrif sebagai taikun.

“Selepas membayar cukai oleh bukan taikun, mereka akan masuk dalam golongan mereka yang miskin,” katanya.

Beliau turut mengimbau waktu 70 tahun dulu, taikun dibunuh dan harta mereka dirampas di beberapa negara malah, semua perniagaan dan perusahaan diambil pemerintah dengan harapan 100 peratus daripada keuntungan akan diperoleh kerajaan.

“Jika kita hendak, kita boleh halau keluar semua taikun ini. Jangan tolong mereka. Biar mereka bankrap. Kita akan tolong yang bukan taikun sahaja.

“Tetapi dengan apakah yang kita hendak tolong bukan taikun ini selepas semua taikun tidak dapat bayar cukai. Itu soalannya?,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 4:24 PM