Putrajaya: Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) menuntut supaya Kementerian Kewangan campur tangan bagi menyelesaikan isu layanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap pembelian kenderaan nasional yang dijadikan teksi.

Timbalan Pengerusinya Kamaruddin Mohd Hussain berkata, merujuk kepada surat Kementerian Kewangan bertarikh 6 April lalu, jelas menyatakan bahawa setiap pembelian kenderaan berkenaan dikecualikan GST.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, syarikat pengusaha teksi terus mengenakan cukai berkenaan di dalam nilai bayaran yang dibuat oleh pemandu teksi.

“Saya hairan bagaimana perkara itu masih berlaku sedangkan surat dari Kementerian Kewangan sudah jelas menyatakan bahawa pemandu teksi tidak perlu lagi membayar GST di atas pembelian teksi dari syarikat pengusaha teksi.

“Justeru, kami mahu pihak kementerian berusaha memastikan pengecualian dan pelepasan cukai yang diberikan itu dapat dilaksanakan dengan telus malah, sebagai rakyat Malaysia pelepasan cukai itu seharusnya dinikmati oleh seluruh pemandu teksi yang ada perjanjian sewa beli dengan syarikat pengusaha teksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 7:54 AM