Raja Noraina Raja Rahim


GURU menitiskan air mata ketika menghadapi pertuduhan pecah amanah membabitkan penjualan kereta dan wang tunai RM20,000 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh Zulkifli Ibrahim, 47, yang juga ejen penjual kereta terpakai mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai ejen yang diamanahkan Toyota Innova dan deposit RM20,000 daripada seorang wanita berusia 39 tahun untuk membeli Toyota Hilux, namun menggunakan hasil jualan itu untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu dilakukan di CIMB Taman Semarak, Nilai, antara 19 Februari sehingga 21 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menyalahgunakan Toyota Innova dan deposit RM20,000 yang diberikan oleh mangsa di lokasi dan masa sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Putra Heights, Selangor pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 1:02 PM