Ahmad Omar (menutup muka) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di atas dua pertuduhan menipu seorang kontraktor untuk mendapatkan projek pembangunan terminal tambang murah LCCT pada 2010. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ahmad Omar (menutup muka) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di atas dua pertuduhan menipu seorang kontraktor untuk mendapatkan projek pembangunan terminal tambang murah LCCT pada 2010. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menipu seorang kontraktor untuk mendapatkan projek berkaitan pembangunan lapangan terbang, lima tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Omar Noordin, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Fathiyah Idris sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Ng Suat Leh, 65, untuk mendapatkan projek berkaitan pembangunan Terminal Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM205,000 melalui pesanan juruwang dan akaun bank milik isteri tertuduh.

Kesalahan yang dilakukan pada 18 Ogos dan 3 September 2010 menyebabkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurdiyanah Mohd Nawawi dan tertuduh diwakili S Devika.

Mahkamah membenarkan tertuduh ikat jamin RM20,000 dan menetapkan 20 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 12:48 PM