FAIROL memangku anaknya Farah Hanis di samping isteri, Kamareeah, semalam yang koma sejak tujuh bulan lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
FAIROL memangku anaknya Farah Hanis di samping isteri, Kamareeah, semalam yang koma sejak tujuh bulan lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris

“WALAUPUN kurang kemampuan, saya tidak akan serahkan bayi istimewa ini kepada orang lain,” kata Fairol Haziri Rahim, bapa kepada Farah Hanis yang dilahirkan ketika ibunya dalam keadaan koma.

Bayi berusia 42 hari itu kini dijaga oleh sepupu yang sangat rapat dengannya, iaitu Zaidi Muhammad, 44, yang juga tinggal berjiran di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu.

Fairol Haziri, 44, berkata, sejak hari pertama bayi itu dilahirkan, dia menerima puluhan panggilan telefon termasuk ada yang datang berjumpa dengannya untuk meminta menjaga anaknya itu.

“Pada mulanya ahli keluarga terdekat sahaja yang ingin mengambil Farah Hanis kerana mereka simpati dengan nasib kami tapi lama kelamaan makin ramai orang luar tidak dikenali yang menelefon untuk tujuan itu.

“Saya faham yang mereka ingin membantu, tapi kami tidak sanggup berpisah kerana Farah Hanis adalah satu anugerah malah kelahirannya adalah satu keajaiban dan bukti kebesaran Allah SWT, walaupun memang diakui saya tidak mampu menjaganya,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Farah Hanis yang dianggap sebagai bayi ajaib kerana mampu hidup ketika dalam kandungan ibunya yang koma.

Janin itu terus membesar seeperti normal walaupun pakar perubatan menjangka bayi itu tidak akan bertahan lama dalam kandungan kerana banyak komplikasi termasuk rawatan diterima ibu.

Fairol Haziri berkata, buat masa kini dua anaknya termasuk yang sulung Farras Hazim, 19 bulan, dijaga sepenuhnya oleh sepupunya.

Katanya, segala keperluan Farah Hanis disediakan oleh Zaidi kerana dia tidak mampu menanggung disebabkan perlu mengutamakan keperluan isterinya, Kamareeah Arwae, 36, yang terlantar akibat ketumbuhan di bahagian kepala sejak tujuh bulan lalu.

“Buat masa kini lampin pakai buang dan susu khas isteri masih mampu disediakan hasil ehsan mereka yang datang menziarah termasuk bantuan kewangan dari beberapa pihak berwajib.

“Alhamdulillah, segala sumbangan yang diberikan memang digunakan sepenuhnya untuk isteri kerana kosnya agak banyak, lebih-lebih lagi saya sudah tidak boleh bekerja kerana perlu menguruskan isteri sepenuhnya,” katanya.

Katanya, doktor ada memaklumkan bahawa isterinya mampu pulih namun proses penyembuhan itu memakan masa lama dan disebabkan jaminan itu dia tidak akan melepaskan bayi mereka kepada sesiapa pun.

Sementara itu, Zaidi berkata, dia dan isteri, Raja Norazilah Raja Embong, 39, menganggap Farah Hanis sebagai anak mereka sendiri dan sejak hari pertama kelahirannya, bayi itu sudah dijaga mereka sekeluarga.

“Saya memang rapat dan membesar bersama dengan Fairol, maka perkara sekecil ini sudah pasti saya sanggup membantunya malah Farah Hanis sudah dianggap sebagai anak sendiri dan segala keperluannya kami sediakan.

“Memandangkan rumah kami hanya bersebelahan, Fairol kerap datang menjenguk bayinya dan anak sulungnya, Farras pula akan diambil bapanya pada sebelah malam sahaja manakala waktu siang turut dijaga oleh kami,” katanya yang sanggup bercuti sementara daripada kerja dan sudah menjangkau enam bulan semata-mata untuk membantu sepupunya.

Berita berkaitan:

  • Farah Hanis bayi ajaib [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 1:51 PM