FAIROL Haziri bersama Farras Hazim dan Farah Hanis di sisi Kamareeah  yang koma sejak lebih dua tahun lalu akibat menghidap tumor di bahagian kepala. FOTO Siti Rohana Idris
FAIROL Haziri bersama Farras Hazim dan Farah Hanis di sisi Kamareeah yang koma sejak lebih dua tahun lalu akibat menghidap tumor di bahagian kepala. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Usianya sudah mencecah dua tahun, tapi sepanjang tempoh itu, bayi perempuan yang diberi nama Farah Hanis Fairol Haziri langsung tidak pernah menerima belaian apatah lagi setitik susu daripada ibu.

Kisah Farah Hanis pernah mendapat perhatian dua tahun lalu, malah digelar bayi ajaib kerana sejak dua bulan dalam kandungan, ibunya, Kamareeah Arwae, 38, terus koma disebabkan menghidap tumor di kepala dan sebaik kandungan mencecah tujuh bulan, bayi itu segera dilahirkan secara pembedahan.

Kini, kanak-kanak comel itu terus membesar dan berada di bawah jagaan sepupu bapanya, namun ada ketikanya dijemput balik ke rumah untuk melepaskan rindu memandangkan jarak antara dua rumah itu tidak jauh.

Bapanya, Fairol Haziri Rahim, 46, berkata dia tidak mampu menjaga Farah Hanis berseorangan kerana perlu menumpukan perhatian kepada isteri yang sehingga kini belum menunjukkan perubahan.

"Keadaan isteri masih tidak berubah dan saya perlu menguruskannya sepenuh masa termasuk memberikannya lebih 15 jenis ubat setiap hari, memberi susu khas setiap empat jam sekali, mencuci luka di belakang badannya dan semua tugas itu membuatkan saya tidak mampu menguruskan Farah Hanis.

"Nasib baik ada ahli keluarga lain yang membantu menjaga Farah Hanis, manakala anak sulung, Farras Hazim, 4, di bawah jagaan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kedai Buloh baru-baru ini.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang tampil bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan zakat serta barang dapur.

Fairol Haziri berkata, walaupun Farah Hanis tidak pernah merasai susu ibunya, tapi insan kecil ini berpeluang diberi susu ibu oleh tiga ibu susuan sehingga umurnya mencecah setahun dan baginya itu sudah memadai.

"Selain seorang ahli keluarga, dua daripada mereka tiada hubungan kekeluargaan dengan kami dan atas naluri keibuan mereka memberikan susu badan kepada Farah Hanis dan Alhamdulillah sehingga kini kami masih saling bertanya khabar," katanya yang menetap di rumah hasil sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan masih belum siap sepenuhnya lagi.

Rutin lelaki itu menguruskan isterinya setiap hari tiada waktu tertentu kerana tugasnya berjalan setiap masa kerana keadaan Kamareeah yang terlantar tidak bersuara sebegitu memerlukannya sentiasa peka.

Menurutnya lagi, isterinya baharu sahaja beberapa minggu keluar daripada hospital disebabkan berlaku pendarahan dalam organ dalaman tubuh dan pernah dalam situasi kritikal.

"Keluar banyak ketulan darah dari punggung isteri sebelum segera dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan dirawat hampir dua bulan.

"Keadaannya semakin teruk apabila timbul pula luka di bahagian punggung dan celah pahanya dan selain saya mencuci sendiri kudis itu setiap hari, isteri juga perlu dibawa ke HUSM seminggu sekali untuk proses itu dan memerlukan kos RM200 untuk perkhidmatan ambulans setiap kali dibawa.

"Untuk perbelanjaan isteri setiap bulan saya anggarkan mencecah RM3,000 meliputi susu khas, lampin pakai buang serta alatan perubatan seperti tiub sedut kahak, kain pembalut, krim gel dan beberapa lagi," katanya sambil memberitahu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Fairol Haziri di talian 0145341466.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 2:00 PM