Sultan Muhammad V mencemar duli menziarahi keluarga Kamareeah di Kampung Tasek, Jalan PCB di Kota Bharu hari ini. Foto Zaman Huri Isa
Sultan Muhammad V mencemar duli menziarahi keluarga Kamareeah di Kampung Tasek, Jalan PCB di Kota Bharu hari ini. Foto Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


BAYI perempuan, Farah Hanis Fairol Haziri yang dilahirkan Kamareeah Arwae, 36, yang sedang koma akibat ketumbuhan di kepala boleh dikatakan sebagai satu keajaiban dalam bidang perubatan kerana jarang berlaku.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Ahmad Amir Ismail yang menjalankan pembedahan itu berkata, kebiasaannya ibu yang berada dalam situasi itu akan mengalami keguguran, manakala pertumbuhan bayi terencat atau masalah kesihatan lain.

Menurutnya, Kamareeah disahkan hamil tiga bulan ketika koma kerana ketumbuhan itu.

“Bagaimanapun, dengan kerjasama semua pihak terutama keluarga yang memberi makanan mencukupi melalui tiub kepada Kamareeah menyebabkan kandungannya berada dalam keadaan baik.

“Ketika sedang hamil, Kamareeah pernah mengalami jangkitan kuman dan menerima rawatan di hospital selama tiga minggu tetapi keadaan itu tidak menjejaskan kandungannya.

“Ketika kandungan berusia lapan bulan setengah, bayi itu selamat dilahirkan dalam keadaan sihat melalui kaedah pembedahan pada 16 Mei lalu,” katanya ketika ditemui di kediaman Kamareeah di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu hari ini.

Terdahulu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mencemar duli menziarah Kamareeah dan keluarganya.

Baginda tiba jam 3.40 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar keluarga terbabit.

Dalam kunjungan itu, baginda turut menyampaikan sumbangan wang tunai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Kamareeah yang terlantar akibat ketumbuhan di kepala berjaya melahirkan anak bongsunya secara pembedahan ketika berada dalam keadaan koma pada Mei lalu.

Kamareeah koma akibat ketumbuhan di kepalanya ketika sedang hamil hampir tiga bulan.

Dianggap satu keajaiban oleh pengamal perubatan, bayi perempuan pada awalnya dijangka tidak mampu diselamatkan kerana Kamareeah yang menghidap ketumbuhan di kepala Disember lalu menjalani banyak proses rawatan termasuk proses imbasan sekali gus memberi kesan kepada janin ketika itu.

Kini, anaknya, Farah Hanis yang sudah berusia lima bulan menerima susu daripada ibu susuan.

Selain Farah Hanis, pasangan itu mempunyai seorang lagi anak, Farras Hazim, 2.

Dalam kunjungan itu, baginda turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Dr Ahmad Amir mengenai keadaan Kamareeah.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Amir berkata, kelahiran bayi itu yang kini berusia enam bulan dalam keadaan normal adalah satu sejarah kepada HUSM kerana tidak pernah direkodkan sebelum ini.

“Saya juga tidak tolak kemungkinan ini adalah kelahiran pertama di negara ini selain ia juga jarang berlaku di dunia,” katanya.

Berita berkaitan

Kerusi roda untuk Kamareeah

Dr Aqilah ibu susuan Farah Hanis

'Bayi ajaib' ada 5 ibu [METROTV]

Ramai minta jaga bayi istimewa...

Harap ibu sedar dan susukan bayi kita

Farah Hanis bayi ajaib [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:40 PM