Laporan portal berita Harian Metro Sabtu lalu.
Laporan portal berita Harian Metro Sabtu lalu.

BERNAMA

PENGAYUH basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, optimis akan menamatkan misi kayuhan sepanjang 2,200 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung dan selatan Thailand lebih awal berbanding sasaran asal selama 15 hari.

Wan Hashim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan berkata, dia berjaya membuat kayuhan lebih 9,000 km dalam tempoh enam hari sejak memulakan misi kayuhan Sabtu lalu.

“Sepanjang enam hari itu saya berjaya membuat kayuhan antara 140 km hingga 150 km sehari.

“Memasuki hari ketujuh hari ini saya mahu tingkatkan jarak kayuhan melebihi 150 km sehari untuk menamatkan kayuhan lebih awal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hashim berkata, dengan kayuhan melebihi 150 km sehari itu dia memerlukan tempoh kurang lapan hari bagi menamatkan kayuhan yang berbaki 1,400 km.

Katanya, hari ini dia akan meneruskan kayuhan dari Tanjung Malim, Perak ke Mantin, Negeri Sembilan dengan jarak 140 km.

“Bagaimanapun saya ingin cabar kemampuan diri dengan membuat kayuhan sehingga ke Seremban, Negeri Sembilan hari ini dengan jarak kira-kira 180 km,” katanya.

Katanya, berdasarkan kesihatannya yang baik dan perjalanan kayuhan yang lancar setakat ini dia menaruh harapan tinggi untuk mencipta rekod peribadi kelimanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) lebih awal.

Dalam misi kayuhan kelimanya ini, Wan Hashim dijadual menamatkan kayuhan 2,200 km dalam tempoh 15 hari bermula 22 Jun lalu.

Berkongsi pengalaman sepanjang minggu pertama kayuhan, dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak malah ada yang menawarkan diri membiayai penginapannya.

“Alhamdulillah ramai yang sudah mengenali Pak Wan selepas empat kali membuat kayuhan sebelum ini.

“Ramai juga yang belanja makan minum Pak Wan selain turut membayar kos penginapan,” katanya.

Sebagai duta Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Wan Hashim tidak lupa menyebarkan mesej kepentingan berita benar kepada masyarakat.

Katanya, ia tanda penghargaannya kepada KEMUDI yang banyak menyokongnya sepanjang usahanya mencipta empat rekod MBOR sebelum ini.

Pak Wan mencipta rekod MBOR kali pertama pada 2014 sebagai lelaki tertua yang berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km.

Beliau kemudiannya mencatatkan lagi nama dalam MBOR pada 2015, 2017 dan tahun lalu dengan jarak paling jauh 5,319 km bagi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia.

Berita berkaitan

Kayuhan 2,200km Pak Wan bermula

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:05 AM