Anwar bertemu Tun Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Anwar bertemu Tun Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Hairulazim Mahmud


PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan membuat penetapan semula bahawa peralihan kuasa tampuk pimpinan negara hanya akan berlaku dalam tempoh tiga tahun bukan dua tahun.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, bukan saja Ahli Parlimen itu perlu berbuat demikian malah Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR patut mengubah minda mereka berkaitan tempoh peralihan kuasa itu.

“Ini kerana dua kali sebelum ini Tun Dr Mahathir (Mohamad) menyebut mengenai tempoh tiga tahun ini iaitu ketika diwawancara The Guardian pada 2 Mei 2018 dan Focus Malaysia dalam terbitan 30 Mac-5 April 2019,” katanya dalam status laman sosial Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri hari ini ketika diwawancara wartawan CNBC bahawa tempoh pemerintahannya tidak akan melebihi tiga tahun.

Sehubungan itu Kamarul Zaman cenderung menyatakan bahawa peralihan kuasa itu hanya akan berlaku dalam tempoh tiga tahun.

Kelmarin, MPP PKR menetapkan parti itu berpegang teguh kepada persetujuan yang dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018 iaitu Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri sementara Anwar akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri kelapan selepas tempoh dua tahun.

Dalam pada itu Kamarul Zaman yang juga Pensyarah Kanan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM berkata, muafakat itu sekadar menyebut secara umum iaitu Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan tanpa menyebut tempoh tertentu.

“Antara kandungannya ialah selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, Anwar segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri kelapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 9:28 PM