Mohd Hilmie Hussin


TUKANG rumah direman empat hari oleh Mahkamah Khas Reman Ayer Keroh, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kejadian kira-kira 20 kubur dirosakkan termasuk dua dibakar di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, Melaka, Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun itu, dikeluarkan Penolong Pendaftar Syarina Shaarani@Tan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, penahanan suspek dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Beliau berkata, suspek ditahan 5 petang semalam, di rumah di Kampung Bakar Batu, Bachang, selepas terdapat saksi yang melihat suspek dalam keadaan mencurigakan ketika kejadian.

Beliau berkata, sehingga kini, belum ada pengakuan lisan dibuat suspek dan motif kejadian juga masih dalam siasatan.

Terdahulu, pada malam Jumaat lalu, penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, di sini, gempar selepas kira-kira 20 kubur di tanah perkuburan terbabit ditemukan rosak, batu nisannya dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, tanah perkuburan seluas 0.8 hektar (2 ekar) itu mempunyai dua penjaga, namun kedua-dua penjaga tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Berita berkaitan

Apa motif kau rosak, bakar kubur?

JAIM mohon bantuan orang ramai

Kerja siapa rosakkan kubur? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 2:39 PM
ANGGOTA polis membawa tukang rumah warga Indonesia selepas mendapat perintah tahanan reman, di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh selama empat hari atas dakwaan ceroboh dan merosakkan batu nisan, di Tanah Perkuburan Islam As Syakirin, Bachang. FOTO Rasul Azli Samad
ANGGOTA polis membawa tukang rumah warga Indonesia selepas mendapat perintah tahanan reman, di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh selama empat hari atas dakwaan ceroboh dan merosakkan batu nisan, di Tanah Perkuburan Islam As Syakirin, Bachang. FOTO Rasul Azli Samad