ANTARA kubur yang dirosakkan. FOTO Rasul Azli Samad
ANTARA kubur yang dirosakkan. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


“KAMI nak tahu siapa yang melakukannya, apa tujuannya merosakkan kubur hingga ada yang dibakar,” demikian menurut Pembantu Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, Nik Syukran Muiz Rashid, 35, yang marah dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosak dan membakar kira-kira 30 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, di Melaka, malam tadi.

Nik Syukran Muiz berkata, tindakan tidak bermoral dan berniat jahat itu dipercayai bukan disebabkan khianat semata-mata, malah ada kemungkinan bertujuan menuntut ‘ilmu’ atau individu terbabit, menerima upah daripada pihak tertentu.

Nik Syukran Muiz berkata, kejadian itu hanya disedari penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, kira-kira jam 8.30 malam dan kira-kira lima kubur ahli keluarganya dirosakkan serta dibakar.

Tinjauan Harian Metro, mendapati kerosakan yang dilakukan seolah-olah pelakunya ‘hilang akal’ apabila ada batu nisan dicabut, dipatahkan serta dipecahkan malah dua daripadanya terdapat kesan terbakar.

Kejadian itu tular dan penduduk kampung terbabit kelihatan menziarah tanah perkuburan terbabit sejak jam 8.30 malam.

Malah, hingga jam 12 tengah malam masih ada dalam kalangan mereka ke lokasi terbabit bagi melihat keadaan kuburan saudara mereka.

Bagi Eddie Arman Abu Bakar, 45, dia hanya mengetahui kejadian terbabit kira-kira jam 11 malam, lalu bergegas ke tanah perkuburan terbabit.

“Alhamdulillah, tiada kuburan ahli keluarga saya dirosakkan tapi saya tidak sangka perbuatan sebegini sanggup dilakukan.

“Saya lihat banyak batu nisan dipecahkan, dipatahkan, dicabut. Namun agak sukar untuk mengagak tindakan siapa malah laluan masuk ke tanah kubur ini banyak kerana tidak berpagar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sarang Helang Bachang, Nasran Mehat berkata, kejadian yang berlaku malam tadi, bukannya yang pertama.

Menurutnya, seminggu sebelum Ramadan lalu, satu kubur dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Namun katanya, kali ini tindakan melampau dilakukan apabila lebih 30 kubur dirosakkan dan terdapat dua kubur dibakar.

“Lebih 30 kubur dirosakkan ini membabitkan lapan keluarga, jadi saya rasa tindakan ini sudah dirancang,’ katanya.

Menurutnya, tanah perkuburan terbabit sudah lama dan terdapat kira-kira 4,000 kubur di situ, malah kedudukannya juga strategik di tepi Sungai Melaka dan di pinggir bandar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad menerusi WhatsApp hari ini, berkata, pihaknya menerima laporan kejadian terbabit pada jam 10.20 malam.

“Hasil siasatan polis, hanya kira-kira 20 kubur dirosakkan bukan 30 seperti dilaporkan kepada polis, membabitkan batu nisan dicabut atau dipatahkan. Batu nisan yang dirosakkan itu membabitkan kubur baru dan lama selain terdapat kesan kertas dan plastik terbakar di atas dua kubur.

“Ketika kejadian, dua penjaga kubur tidak berada di lokasi,” katanya.

Kata Afzanizar, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

JAIM mohon bantuan orang ramai

Kerja siapa rosakkan kubur? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 3:33 PM