KETUA Polis Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian 1,220 bungkus daun ketum seberat 250kg dan 144 botol ubat batuk yang dirampas di Jalan Batu Melintang, Jeli malam Selasa lalu. FOTO Ihsan Polis
KETUA Polis Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian 1,220 bungkus daun ketum seberat 250kg dan 144 botol ubat batuk yang dirampas di Jalan Batu Melintang, Jeli malam Selasa lalu. FOTO Ihsan Polis
Siti Rohana Idris


TAKTIK licik dua lelaki menggunakan kenderaan sukan utiliti (SUV) buatan Jepun untuk membawa masuk daun ketum seberat 250 kilogram (kg) dan ubat batuk terbongkar selepas ditahan di Jalan Batu Melintang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, dua suspek lelaki berusia 31 dan 32 tahun juga berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, kenderaan bercermin gelap itu ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemui 1,220 bungkus daun ketum seberat 250 kg yang dibalut dengan plastik cerah di belakang tempat duduk.

“Turut ditemui 144 botol ubat batuk di dalam kotak yang disembunyikan di bahagian but belakang kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ahmad berkata, siasatan awal mendapati daun ketum itu dipercayai dibawa dari Alor Setar, Kedah untuk pasaran di Takbai, Thailand.

“Suspek berusia 31 tahun mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang lagi empat rekod lampau dadah dan satu berkaitan jenayah.

“Hasil ujian saringan dibuat, seorang daripada mereka positif methampethamine,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3)Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:14 PM