AHMAD Faizal beramah mesra dengan pengguna jalan raya. FOTO Abdullah Yusof
AHMAD Faizal beramah mesra dengan pengguna jalan raya. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan mempertimbangkan membuka laluan kecemasan jika berlaku kesesakan luar biasa di lebuh raya negeri itu.

Pengarahnya Severinus Tukah berkata, langkah itu diambil bagi bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas ketika orang ramai pulang untuk beraya di kampung halaman dan kembali ke ibu kota.

Katanya, pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ada mencadangkan untuk membuka laluan kecemasan jika berlaku kesesakan luar biasa terutama membabitkan laluan di Slim River.

“Sebelum ini, kawasan Slim River memang antara lokasi paling sesak setiap kali cuti musim perayaan kerana membabitkan laluan tiga lorong menjadi dua lorong.

“Ada cadangan daripada pihak PLUS untuk buka laluan kecemasan di laluan Slim River, tetapi perkara ini hanya untuk waktu tertentu sahaja terutama musim perayaan.

“Laluan kecemasan itu dicadang dibuka bagi melepaskan kenderaan hingga keadaan trafik terkawal,” katanya dalam sidang media selepas Program Sentuhan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan JPJ Perak Pengguna Jalan Raya di Plaza Tol Ipoh Selatan, hari ini.

Severinus berkata, pihaknya akan akan maklumkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk pandangan dan kelulusan.

“Cuma istimewanya Aidilfitri kali ini, kenderaan tidak terlalu banyak dan trafik terkawal sejak 29 Mei lalu, jadi belum ada keperluan untuk membuka laluan (kecemasan) ketika ini.

“Kita risau masa balik (habis cuti) nanti pada 7 dan 8 Jun, mungkin kita akan buka laluan kecemasan di kawasan sama (Slim River) arah selatan pula

“Bagi menyuraikan trafik dan kecemasan mungkin kita boleh benarkan dan anggota JPJ akan bantu untuk buka,” katanya.

Jajaran lebuh raya di Perak adalah yang terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 224 kilometer (km) bermula dari Tanjung Malimke Alor Pongsudengan lokasi kesesakan kerap berlaku adalah di Slim River, Gua Tempurung dan Terowong Menora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 2:53 PM