PELBAGAI replika dibina sebelum dihiasi pelita. FOTO Bernama
PELBAGAI replika dibina sebelum dihiasi pelita. FOTO Bernama
BERNAMA

BAGI mengembalikan nostalgia Aidilfitri, 13 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Kuala Terengganu diterangi cahaya kira-kira 200 lampu pelita sempena Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pertandingan yang bermula 30 Mei sehingga 7 Jun itu menyaksikan setiap kampung terbabit membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita mengikut kreativiti masing-masing.

“Setiap MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) terbabit dibekalkan 200 pelita serta minyak tanah, dan peserta perlu memilih kawasan atau tapak untuk memasang pelita raya itu berdasarkan kesesuaian.

PESERTA, Afiq Muizuddin Mohd Arifin, 18, (kanan) bersama rakan menyiapkan replika rumah dari pelita.
PESERTA, Afiq Muizuddin Mohd Arifin, 18, (kanan) bersama rakan menyiapkan replika rumah dari pelita.

“Proses penjurian akan dibuat sepanjang pertandingan berlangsung dan kampung paling kreatif dan menepati kriteria ditetapkan akan diumumkan sebagai pemenang,” katanya selepas ketika ditemui Majlis Pelancaran Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2019 di Kampung Gelugor, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Alur Limbat berkata, pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM500, tempat kedua (RM300), tempat ketiga (RM200) dan tempat keempat (RM100).

ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakamkan gambar berlatar belakangkan replika masjid yang dihiasi pelita. FOTO Bernama
ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakamkan gambar berlatar belakangkan replika masjid yang dihiasi pelita. FOTO Bernama

Dalam pada itu, Ariffin berkata, pihaknya bercadang mengadakan pertandingan itu antara daerah tahun hadapan.

Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2019 yang dianjurkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bagi peringkat kampung dalam kawasan DUN mula diperkenalkan pada 2009, membabitkan DUN Tepuh, kemudian diadakan di kawasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 1:17 PM