ELEMEN Inggeris dan tempatan digabungkan.
ELEMEN Inggeris dan tempatan digabungkan.
Aniza Zainudin


Kombinasi rona putih, hijau dan terselit warna terang seperti merah, menjadi tarikan utama sebaik melangkah masuk ke laman desa ala Inggeris di perkarangan kediaman Suzana Abu Sari.

Menyuntik konsep laman desa ala Inggeris sepenuhnya dan disesuaikan dengan gaya Malaysia, idea penataan taman mini ini adalah hasil inspirasi wanita berusia 42 tahun ini.

Bukan sekadar mencantikkan laman dan menyegarkan pemandangan, taman Inggeris ini didekorasi dengan tujuan dijadikan lokasi bersantai bersama keluarga serta teman pada masa terluang.

“Sudah lama saya menjadikan konsep ala Inggeris sebagai tema dekorasi kediaman sama ada dalaman mahupun luaran.

“Konsep ala Inggeris mempunyai keistimewaan dan kecantikan tersendiri, terutama dari segi motif bunga-bungaan bersaiz kecil dan warna lebih menyerlah apabila diselitkan di antara elemen dekorasi utama seperti pagar berwarna putih dan kehijauan rumput tiruan.

“Apabila saya mengaplikasikan tema ala Inggeris di halaman rumah, saya berjaya menampilkan kelainan. Ia mampu menaikkan seri rumah dari kejauhan lagi,” ceritanya ketika ditemui di Sungai Buloh, baru-baru ini.

GABUNGAN warna yang menarik.
GABUNGAN warna yang menarik.

Memperuntukkan masa sekurang-kurang dua jam setiap pagi membersihkan kebun kecilnya, pemilik Anna’s Cottage ini turut mengambil inspirasi daripada majalah dan program televisyen, selain cita rasanya dalam menata rias.

Menurut Suzana, proses penjagaan laman desa ala Inggeris tidak terlalu rumit cuma fokus diberi terhadap pembajaan bunga dan merumput, dua minggu sekali.

Meskipun konsep ala Inggeris sinonim dengan kuntuman mawar mekar, kelainan pula bagi kebun Inggeris di perkampungan Paya Jaras Hulu ini.

Berbanding ros, seri laman desa ala Inggeris ini diserlahkan dengan hiasan bunga vinca atau bunga tapak dara berwarna merah jambu, bunga english ivy (Hedera ivy), pokok duit-duit (Epipremnum aureum) dan pakis.

Keunikan laman desa ala Inggeris Suzana ini terletak pada pembahagian tiga segmen taman utama bersama aksesori hiasan yang berbeza.

Segmen pertama di bahagian kanan, tarikan pergola buatan tangan bersaiz mini berwarna putih dihiasi dekorasi replika flora dan fauna bagi menyerlahkan kecantikannya.

LANDSKAP taman Inggeris yang menarik.
LANDSKAP taman Inggeris yang menarik.

Memasukkan elemen ‘keanak-anakan’, papan tanda dihiasi lebah dan kumbang berlainan rona menjadi tarikan mata.

Malah, aksesori hiasan Inggeris seperti pagar putih bersilang, pinggan, pelita, pasu dan tong sampah bermotif bungaan melengkapkan pemandangan.

Kincir angin mini berdiri megah di kiri dan kanan menyempurnakan lagi cerminan laman desa ala Inggeris.

Menyuntik elemen tempatan, replika reban ayam kayu bersaiz mini bersama hiasan ayam dan telur menambahkan keunikan segmen laman ini.

Tidak mengetepikan aspek bunga-bungaan Inggeris, susunan pasu seramik dengan lakaran bunga menghiasi pangkin kecil berwarna putih merah.

Segmen kebun Inggeris kedua pula menampilkan ciri sama seperti pergola bersaiz medium dengan hiasan bunga berdaun, pelita berwarna, buahan tiruan serta peralatan berkebun seperti penyodok bergantungan.

REBAN ayam mini turut dihiasi replika ayam yang unik.
REBAN ayam mini turut dihiasi replika ayam yang unik.

Menggunakan elemen kincir angin, rumah burung merpati dan cawan makanan burung, teknik susun atur Suraya membangkitkan rasa tenang.

Lebih menarik, set kerusi meja bermotifkan buah strawberi seakan-akan membawa kita berlayar ke alam fantasi Inggeris.

Segmen ketiga laman desa ala Inggeris ini tertumpu pada binaan perigi menggunakan tayar kenderaan terpakai yang menggunakan rona yang sama, putih merah.

Bertanahkan rumput hijau tiruan, tatarias Suraya turut menggabungkan pelbagai aksesori tambahan termasuk replika cendawan, itik, kumbang dan rumah burung bagi menyerlahkan lagi landskap laman berkenaan.

Bagi Suzana, keindahan laman desa ala Inggeris diusahakannya adalah simbolik keseronokan, kegembiraan dan kepuasan peribadi buat dirinya.

ANTARA aksesori hiasan unik.
ANTARA aksesori hiasan unik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:08 AM