ORANG ramai membeli tiket bas ekspres di BTS. FOTO Aizuddin Saad
ORANG ramai membeli tiket bas ekspres di BTS. FOTO Aizuddin Saad
Rizanizam Abdul Hamid


TIKET bas ke semua 160 destinasi utara, selatan dan pantai timur semenanjung masih boleh didapati di 70 kaunter Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan sehingga menjelang Aidilfitri.

Pengurus Kanan Operasi TBS Faizal Redza Redzuan berkata, bagi musim perayaan Aidilfitiri tahun ini, sebanyak 170,000 tiket bas disediakan untuk semua 160 destinasi membabitkan 112 syarikat bas.

Menurutnya, secara keseluruhannya, perjalanan penjualan tiket tahun ini lancar dan tidak menyebabkan kesesakan luar biasa.

“Sejak 31 Mei hingga hari ini, sebanyak 97,000 tiket sudah terjual membabitkan 27,000 tiket ke utara; selatan (40,000) pantai timur (20,000) dan laluan sentral ke Seremban, Sepang dan sebagainya sebanyak 9,000 penumpang.

“Ini bermakna, kira-kira 57 peratus tiket sudah terjual dan masih terdapat baki kira-kira 73,000 lagi tiket belum terjual. Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di saat akhir.

“Tiket bagi perjalanan ke pantai timur yang paling laris, manakala destinasi ke selatan adalah kekerapan perjalanan paling tinggi sebanyak 600 trip sehari,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Faizal Redza berkata, dalam tempoh 10 hari bermula 31 Mei sehingga 9 Jun ini, 30 bas tambahan disediakan setiap hari dengan 1,200 tempat duduk ke semua destinasi.

Menurutnya, pembelian tiket secara dalam talian juga menyaksikan peningkatan kepada 40 peratus berbanding 25 peratus tahun lalu.

“Pembelian tiket dalam talian lebih mudah kerana penumpang tidak perlu mencetak tiket bas sebaliknya hanya perlu mengimbaskan QR kod di telefon bimbit mereka di pintu pelepasan sebelum menaiki bas.

“Selain itu, pihak syarikat bas juga boleh memantau destinasi tertentu yang memerlukan bas tambahan untuk menampung keperluan penumpang,” katanya.

Sementara itu, bagi Norfathiha Mohd Fauzaini, 22, dia terkejut apabila mendapati suasana di TBS tahun ini tidak begitu sesak berbanding tahun sebelum ini.

“Mungkin ramai yang pulang ke kampung kerana cuti sekolah lebih awal berbanding tahun sebelum ini.

“Saya beli tiket ke Merlimau, Melaka sebulan lebih awal kerana menyangka kaunter tiket akan sesak namun terkejut kerana keadaan di sini tidak begitu sesak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 3:37 PM