FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


SEORANG ejen pelancongan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang daripada tuduhan menipu seorang wanita warga emas berhubung pakej percutian ke Korea, tahun lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali memutuskan demikian terhadap Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

“Selepas membuat penilaian maksimum dan mengambil semua keterangan daripada semua saksi, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri dan wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, ibu tiga itu didakwa menipu Noor Azah Aziz, 61, dengan memperdayakan mangsa hingga mendorongnya memasukkan wang sebanyak RM16,900 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh di Lorong Mawar 1, Taman Maju Jaya, Jalan Cheras, Ampang, pada jam 11 malam, 30 Disember 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakirraah Zakaria manakala tertuduh diwakili Khairul Naim Rafidi.

Sepanjang perbicaraan yang bermula Mei tahun lalu, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 3:38 PM