MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) menjadikan tempat letak kereta Mahkota Square sebagai tapak bazar Ramadan. FOTO Mohd Rafi Mamat
MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) menjadikan tempat letak kereta Mahkota Square sebagai tapak bazar Ramadan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) menawarkan 1,953 permit gerai jualan bazar Ramadan di 35 di daerah ini, sepanjang bulan Ramadan yang dijangka bermula minggu pertama bulan depan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal berkata, permit berkenaan hanya membabitkan bazar Ramadan kendalian MPK sahaja.

“Tahun ini kita menambah tiga lagi tapak bazar baharu iaitu di Dataran Kuantan, Tunas Manja Group (TMG) Mall Tanjung Lumpur dan TMG Indera Mahkota 7, menjadikan semuanya 35 berbanding 32 tahun lalu.

“Daripada 35 tapak bazar di lapan lokasi itu, seramai 499 peniaga akan menjual pelbagai jenis barangan, manakala 27 lokasi lagi (1,454) peniaga menjual makanan, kuih dan air, ” katanya dihubungi, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan pemantauan secara berterusan, terutama membabitkan aspek kebersihan dan pemilik yang menyewakan permit atau gerai mereka kepada pihak ketiga.

Norkamawati berkata, bagi memastikan aktiviti jualan berjalan dengan baik dan selesa kepada pengunjung, semua peniaga dinasihatkan mengenakan pakaian sopan dan bertudung kepala serta wajib meletakkan tanda harga pada setiap barangan dijual.

“Harga ditawarkan kepada pelanggan juga perlu berpatutan dan tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna dan kita akan meminta kerjasama pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi tujuan (pemantauan dan pemeriksaan) ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 9:55 AM