PGA merampas sebuah lori dengan muatan rokok dan minuman keras pelbagai jenama disyaki diseludup dianggarkan bernilai RM290,600, di susur Lebuh raya Pasir Gudang, Johor petang semalam. FOTO ihsan PGA
PGA merampas sebuah lori dengan muatan rokok dan minuman keras pelbagai jenama disyaki diseludup dianggarkan bernilai RM290,600, di susur Lebuh raya Pasir Gudang, Johor petang semalam. FOTO ihsan PGA
Mohd Sabran Md Sani

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas rokok dan minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM290,600 di susur Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru petang semalam.

Komandan Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata rampasan susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori dalam rondaan Ops Nyah 1 di kawasan Ulu Tiram.

Katanya, anggota operasi terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kota Tinggi, pada 5.45 petang.

“Anggota PGA kemudian cuba menahan lori berkenaan, namun pemandunya enggan memberhentikan kenderaan itu dan cuba menghimpit kenderaan dinaiki anggota PGA.

“Setibanya di jalan susur Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke bandar pusat bandar Pasir Gudang, pemandu itu memberhentikan kenderaannya secara mengejut,” katanya.

Katanya, ketika itu seorang lelaki tidak dikenal pasti identitinya keluar dari lori terbabit dan melarikan diri ke seberang jalan.

“Anggota cuba mengejar suspek namun gagal,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdul Ghani berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menemukan 120 kotak besar rokok berisi 50 karton rokok dan 160 kotak berisi 1,920 botol arak.

Katanya, semua barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, tujuh lelaki warga Bangladesh ditahan di dalam kawasan sebuah resort di Tanjung Sepat, Kuala Langat, awal pagi semalam.

Katanya, semua mereka ditahan ketika bersembunyi di kawasan semak selepas anggota PGA terserempak dengan sebuah teksi yang mencurigakan sebelum dipandu laju meninggalkan lokasi ketika anggota PGA ingin melakukan pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:15 PM