LORI dipandu suspek berusia 15 tahun didaftarkan atas nama syarikat di Taman Johor Jaya. Gambar kecil, keadaan MPV yang dirempuh suspek. FOTO ihsan polis.
LORI dipandu suspek berusia 15 tahun didaftarkan atas nama syarikat di Taman Johor Jaya. Gambar kecil, keadaan MPV yang dirempuh suspek. FOTO ihsan polis.
Mary Victoria Dass


REMAJA lelaki bertindak merempuh dua kereta peronda polis (MPV) apabila anggota polis cuba menahan lori dipandunya di Jalan Angkasa Mas, Perindustrian Tebrau 2, Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian berlaku pada 4 petang.

Beliau berkata, siasatan mendapati sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan terserempak dengan lori 10 tan terbabit dalam keadaan mencurigakan di Jalan Harmonium 23, Taman Desa Tebrau.

Menurutnya, apabila anggota polis memberi arahan untuk berhenti, remaja berusia 15 tahun yang memandu lori berkenaan tidak mempedulikannya.

Katanya, usaha menahan lori itu dibantu empat MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS dan 12 kereta peronda IPD Seri Alam.

“Anggota polis mengejar dan mengepung laluan, tetapi pemandunya masih enggan memberhentikan kenderaan di Jalan Angkasa Mas 3, Perindustrian Tebrau 2, Johor Bahru.

“Ketika mengejar di Lebuhraya Pasir Gudang dan memasuki persimpangan susur keluar Plentong, lori berkenaan merempuh sebuah MPV.

“Manakala ketika tiba di jalan mati di Jalan Angkasa Mas Perindustrian Tebrau 2 Johor Bahru, lori berkenaan merempuh sebuah lagi MPV apabila berundur,” katanya.

Shahurinain berkata, semasa proses mengejar itu, polis melepaskan tembakan ke udara sebanyak tiga kali.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan antaranya dan anggota polis.

Menurutnya, akibatnya pemandu lori berkenaan cedera di tangan manakala anggota polis tidak cedera.

“Hasil siasatan, pemandu lori itu didapati berusia 15 tahun.

“Dia yang sudah berhenti sekolah mengaku bekerja sebagai kelindan lori dengan bapa saudaranya dan menyatakan dia memandu lori itu untuk tujuan pandu uji.

“Siasatan mendapati lori itu didaftarkan atas nama syarikat di Taman Johor Jaya, namun tiada rekod hilang dilaporkan,” katanya.

Shahurinain berkata, remaja berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 10:20 PM