GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Saliawati Salberi


SEBANYAK 19 lokasi panas atau ‘hotspot’ dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian lemas sepanjang cuti Aidilfitri oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, selain 19 lokasi itu, pihaknya turut mengenal pasti 39 lagi kawasan lain membabitkan tempat perkelahan seperti air terjun, pantai serta sungai yang dikategorikan sebagai berisiko.

Beliau berkata, 19 hotspot dikenal pasti itu, kebanyakannya terletak di Pantai Timur, seperti Air Terjun Sekayu, Terengganu; Pantai Nipah, Bachok dan Muara Tok Bali, Pasir Puteh Kelantan.

“Semua 19 lokasi ini disenarai berdasarkan kekerapan berlakunya kejadian lemas melebihi lima orang dalam tempoh tiga tahun ini.

“Tahun lalu sahaja terdapat kira-kira 400 kematian direkodkan akibat lemas membabitkan aktiviti air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Jalinan Mesra Ramadan 2019 di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Melaka, semalam.

MOHAMMAD Hamdan (tiga kanan) berbuka puasa bersama pada majlis Jalinan Mesra Ramadan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
MOHAMMAD Hamdan (tiga kanan) berbuka puasa bersama pada majlis Jalinan Mesra Ramadan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka. FOTO Rasul Azli Samad

Mohammad Hamdan berkata, JBPM akan menempatkan pasukannya di lokasi yang dikenal pasti untuk melakukan rondaan sekali gus menjimatkan masa penyelamatan sekiranya berlaku kecemasan.

“Kita akan menjalankan kempen keselamatan di air kerana kebiasaan ketika musim cuti, orang ramai akan mengahabiskan masa berekreasi serta berkelah.

“Bomba juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (pbt) untuk meletakkan gambar topografi di kawasan terbabit kerana pengunjung luar terutamanya tidak tahu keadaan pantai dikunjungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 10:10 AM