BERNAMA

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengisi sebanyak 1,000 kekosongan jawatan pegawai gred KB19 tahun ini secara berperingkat mulai bulan hadapan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pengambilan bulan Mac itu membabitkan 250 orang, manakala 750 lagi pada Jun dan kesemua mereka akan mengikuti Kursus Sijil Sains Kebombaan selama empat bulan setengah di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Marang, Terengganu.

Katanya, semua pengambilan itu adalah sebahagian jawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga tahun 2020 dan kekosongan antara lain disebabkan persaraan serta penubuhan balai bomba baharu.

“Kita percaya penerimaan 1,000 pegawai bomba gred KB19 ini akan mengisi penuh kekosongan jawatan di peringkat balai, zon dan negeri dan mereka ini adalah pegawai di barisan hadapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 JBPM Wilayah Utara di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan pelbagai kaum dan latar belakang untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

“Dalam profesion bomba ini ada banyak jurusan bukan sekadar penyelamatan sahaja sebaliknya penerbangan untuk mengendalikan helikopter, kejuruteraan untuk pemeriksaan dan kelulusan bangunan dan lain-lain.

“Oleh kerana terdapat pelbagai jurusan teknikal di JBPM, kita harap dengan penyertaan daripada pelbagai latar belakang ia akan menaikkan imej, prestasi dan kecekapan jabatan,” katanya.

MOHAMMAD Hamdan memeriksa barisan pegawai dan anggota pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan & Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
MOHAMMAD Hamdan memeriksa barisan pegawai dan anggota pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan & Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, JBPM akan menubuhkan pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dianggotai orang awam di lokasi 'hotspot' kemalangan di seluruh negara bagi kerja-kerja pencarian dan penyelamatan sementara menunggu bantuan anggota dari balai bomba berdekatan tiba.

“Sebagai contoh sekiranya tempat itu menarik dan ada penjaga kita akan lantik dia sebagai PBB yang akan diberi latihan dan tauliahan untuk memberikan bantuan awal.

“Setakat ini, kita telah kenal pasti 15 'hotspot' di seluruh negara, manakala bagi negeri pantai timur Terengganu, Kelantan dan Pahang seramai 30 PBB telah dipilih,” katanya.

Mengenai kesiapsiagaan JBPM menghadapi situasi politik negara, Mohammad Hamdan berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia.

Pada majlis itu, lebih 100 pegawai bomba wilayah utara dan Perak menerima anugerah perkhidmatan cemerlang termasuk empat pegawai yang berkhidmat lebih 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 4:05 PM