GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Saliawati Salberi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti kira-kira 10,000 pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menghadapi banjir terutama di Pantai Timur, bermula bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, tindakan itu adalah sebagai langkah awal jabatan itu menghadapi sebarang kemungkinan terutama ketika mengalami musim peralihan monsun.

"Kesemua pegawai dan anggota itu membabitkan 296 Balai Bomba dan Penyelamat di keseluruhan 48 zon di seluruh negara.

"Selain dibekukan cuti, JBPM turut akan membuka bilik gerakan bagi melakukan pemantauan serta memastikan kesemua keperluan peralatan dan logistik berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Jadi ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Ayer Keroh, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang dijangkakan akan dilanda banjir berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

"Selain kawasan Pantai Timur, beberapa kawasan di Utara dan Selatan turut dikenal pasti akan berlakunya banjir," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tragedi mengorbankan enam anggotanya di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, pada Oktober lalu, beliau berkata, siasatan dalaman kini sudah berada di peringkat akhir.

"Siasatan masih berjalan dan sudah di peringkat akhir untuk disiapkan. Kita jangkakan ia akan selesai pada hujung tahun ini," katanya.

Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Selangor lemas ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja hilang di bekas lombong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 5:32 PM