AL-QURAN Braille.
AL-QURAN Braille.
Idris Musa


KUALA LUMPUR: Al-Quran ini tidak seperti naskhah biasa kerana lebih kerap dibaca lebih cepat hilang dan perlu digantikan dengan yang baru, demikian menurut Muhammad Firdaus Hairi, 31.

Ketua Unit Penerbitan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) itu berkata, Quran Braille mempunyai tempoh tertentu bergantung kepada penggunaannya.

“Biasanya, Quran Braille digunakan dalam tempoh lima tahun saja. Namun ia bergantung kepada kekerapan penggunaannya. Jika lebih kerap, mungkin dalam setahun saja dah kena tukar yang baru.

“Tajwid dan makhraj sama, cuma kaedah berbeza. Cara membacanya dari kiri ke kanan kerana belum ada mesin cetak untuk bacaan dari kanan ke kiri,” katanya ditemui di pejabat Pertis, Brickfields di sini.

Walaupun naskhah Braille tidak tahan lasak, beliau berkata, itu saja yang memungkinkan orang buta sepertinya dapat membaca al-Quran, selain melalui pendengaran.

“Braille seperti pen dan pensel. Jika saya nak menulis pun dengan Braille,” katanya yang bertungkus-lumus bersama beberapa rakan di persatuan itu menerbitkan Quran Braille.

Menurutnya, orang buta bagaimanapun tidak akan boleh membaca naskhah itu selagi tidak mempelajari cara membacanya, mengetahui asas dan kod Quran Braille terlebih dahulu.

“Saya (sendiri) mula belajar Quran Braille sejak memasuki alam persekolahan pada usia tujuh tahun. Sebelum itu memang saya tak boleh baca Quran, melainkan dengan cara mendengar dan menghafal,” katanya.

Braille sistem tulisan sentuh digunakan orang buta yang turut diperluaskan bagi naskhah al-Quran bertujuan mengupayakan golongan terbabit mempelajari dan membacanya.

Muhammad Firdaus berkata, Quran Braille tidak dijual di kedai buku, malah cetakan dibuat oleh pihaknya juga atas permintaan dan pada kebiasaan apabila ada orang mewakafkannya.

Katanya, setiap helaian dicetak dibuat semakan dan penelitian terlebih dahulu bagi memastikan ianya boleh dibaca.

“Jika cetakan pada helaian itu tidak timbul, ia tak boleh dibaca dan perlu diasingkan (sebelum dicetak semula),” katanya.

Beliau berkata, sesiapa yang hendak mendapatkan Quran Braille boleh menghubungi pihaknya memandangkan terbitan Pertis mendapat pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Quran Braille mengandungi enam jilid, dengan jilid pertama paling nipis iaitu 155 muka surat manakala jilid keenam paling tebal 200 muka surat.

Sesiapa ingin membantu penerbitan Quran Braille boleh menyumbang melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Pertis bernombor 14014010086992 atau menghubungi talian 03-22762634.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 6:00 AM