Raja Kamarul Bahrin Shah (tengah) memakai apron kepada peniaga bazar Ramadan. FOTO Imran Makhzan
Raja Kamarul Bahrin Shah (tengah) memakai apron kepada peniaga bazar Ramadan. FOTO Imran Makhzan
Imran Makhzan


TIGA puluh lapan peniaga bazar Ramadan di Terengganu dikenakan kompaun berjumlah RM4,000 atas pelbagai kesalahan bermula 6 Mei hingga semalam.

Antara kesalahan dilakukan termasuk tidak mendapatkan vaksin pelalian anti-tifoid, tidak menutup makanan dan tidak menghadiri latihan pengendalian makanan.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 1,667 gerai di bazar Ramadan dan 83 sampel makanan diambil untuk diuji keselamatannya.

Beliau berkata, hasilnya 93 peratus gerai diberi penarafan atau dikategorikan sebagai sangat bersih (A) manakala selebihnya mencapai kategori bersih (B).

“Kuala Terengganu mencatatkan bilangan peniaga tertinggi dikenakan kompaun iaitu 21 notis diikuti Setiu (sembilan notis), Dungun (tiga notis), Kemaman (dua notis), Hulu Terengganu (dua notis) dan Besut (satu notis).

“Bagaimanapun masih terdapat 3,139 gerai belum diperiksa dan kita jangka selesai minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Kempen Keselamatan Makanan Serta Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Daerah Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 11:02 PM